SHAH ALAM: Antara kelemahan utama Pakatan Harapan (PH) adalah kurang masuk ke desa dalam memberi penjelasan berhubung pelbagai isu kepada rakyat, terutamanya melibatkan orang Melayu.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut akan dibawa ke dalam mesyuarat pertama kepimpinan baharu parti itu dalam masa terdekat.

"Kelemahan kita dalam PH juga, adalah kurang upaya untuk menerobos masuk ke kawasan desa, terutamanya untuk orang Melayu, untuk memberikan penjelasan.

"Saya yakin, insyaAllah, kita dalam mesyuarat pertama pimpinan baharu, akan jadikan ini satu keutamaan bersama PH, untuk bicara lebih mendalam perkara ini," katanya.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Keadilan Nasional Ke-16 di sini hari ini. 

Anwar dalam ucapannya turut menyentuh mengenai sistem kerajaan yang dikatakan tidak menggalakkan pemikiran kritis dan lebih bersifat 'menurut perintah'.

"Memang sistemnya begitu. Kalau lihat, yang ditonton di media dan diasah dalam sistem pendidikan, ia tidak menjurus kepada pemikiran kritis.

"Tidak menjurus kepada menilai hak dan batil, tapi hanya hafal dan menurut perintah. Sebab itu penjawat awam dulu masa dilantik, tertulis 'Saya yang menurut perintah'.

"Hanya ikut saja perintah, tak perlu berfikir," katanya.

Dalam ucapan sama, Anwar sekali lagi mengkritik tindakan kerajaan yang dilihat lambat dalam mencari penyelesaian kepada masalah rakyat terutamanya membabitkan kos sara hidup.

Tegasnya, keputusan yang dibuat, kalau ada pun, ditumpukan kepada projek-projek besar dan mega.

"Kegilaan mega ini menyebabkan kita berdepan malapetaka yang mega. Dari dulu kalau di sidang Parlimen, kita bangkitkan isu projek-projek besar.

"Kadangkala kita minta penjelasan, berpuluh kali dibangkitkan di Parlimen. Bukan dari saya sahaja, dari semua Ahli Parlimen yang lain tapi tiada jawapan.

"Yang ada, percepatkan projek-projek besar kerana komisennya juga besar," ujarnya.

Kongres Nasional Ke-16 PKR selama tiga hari memulakan persidangannya pada Jumaat dengan kehadiran penuh, selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lepas susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Antara yang hadir, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan barisan kepimpinan PKR, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kongres bermula dengan Kongres Wanita yang dibuka pada jam 9 pagi dengan ucapan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diikuti ucapan dasar Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Sementara itu, Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut bermula pada Jumaat, dirasmikan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, diikuti ucapan dasar oleh ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.