KUALA LUMPUR: Rakyat Melaka menantikan urus tadbir baharu yang memberi tumpuan kepada keperluan, kemahuan dan kepentingan termasuk agenda merakyatkan kepimpinan terbaharu selepas ini.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia, Prof Sivamurugan Pandian menyifatkan, ini bukan lagi masa sesuai untuk bercakap mengenai soal jawatan atau kedudukan tetapi bagaimana meningkatkan taraf kebajikan.

“Sudah pasti rakyat negeri Melaka juga mahu melihat tadbir urus baharu memberi tumpuan kepada keperluan, kemahuan dan kepentingan rakyat termasuk agenda merakyatkan kepimpinan itu wajar menjadi asas kepada perubahan yang mahu dilakukan.

“Sudah pasti politiking mahu diakhiri di peringkat ini supaya kestabilan politik akan dapat merancakkan semula atau sektor lain yang perlu dilakukan oleh barisan kepimpinan negeri. Kerana ini bukan lagi soal jawatan, pangkat atau kedudukan tetapi yang wajar menjadi titik tolak, penting bagaimana untuk meningkatkan taraf hidup kebajikan dan juga soal membahagiakan, mengharmonikan rakyat,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambah Sivamurugan, kepimpinan terbaharu ini seharusnya memberikan nilai tambah kepada perubahan dan sejumlah manfaat kepada rakyat sewajarnya menjadi hal paling dominan selepas ini.

Terdahulu, desas-desus pertukaran Ketua Menteri Melaka akhirnya terjawab dengan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.

Perkara itu disahkkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sambil menyatakan beliau menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk mempersembah nama calon Ketua Menteri baharu.