Hampir 1,000 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) cawangan Felda Kerteh 2 , di sini dikatakan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan badan bukan kerajaan itu.

Pengerusi Biro Pendaftaran Perkasa Parlimen Dungun, Mohammad Hassan berkata, tindakan berkenaan dilakukan berikutan mereka telah hilang kepercayaan terhadap Perkasa selepas penasihatnya yang juga mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Menurut Mohammad, pengaruh PPBM terhadap Perkasa menjejaskan perjuangan asalnya apabila parti itu mula menjalin kerjasama dengan pakatan pembangkang.

“Dia (Tun Mahathir) tubuh Parti Pribumi ini, macamana hendak membezakan dua perkara ini? Kalau dia naik guna platform Perkasa dia boleh bercakap atas dasar Perkasa, bawa perjuangan Perkasa.

“Tetapi apabila dia pergi kepada Pribumi (PPBM), bersama dengan DAP, dia sanggup atau tidak bercakap tentang hak kaum Melayu, bumiputera Melayu, isu pendatang seperti semasa yang dilaungkan pada satu ketika dulu ketika di dalam Perkasa?” tanya Mohamamad yang ditemui selepas Program Himpunan Satu Padu Warga Felda DUN Paka di Felda Kerteh Dua, Dungun pada Jumaat malam.

Menurutnya lagi, tindakan Tun Mahathir bekerjasama dengan parti DAP khususnya, menunjukkan beliau mempunyai agenda lain dan bukan berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Dungun, Datuk Din Adam berkata pihaknya kesal dengan tindakan PPBM menjadikan Perkasa sebagai platform untuk mendaftar ahli secara automatik tanpa pengetahuan mereka.

Menurut Din, tindakan berkenaan membuktikan PPBM dalam keadaan terdesak dan tidak mendapat sokongan rakyat terutama di kalangan bumiputera.

“Kalau menggunakan platform Perkasa untuk kepentingan politik, untuk menentang kerajaan, ini satu yang tidak betul. Kita mengharapkan ahli-ahli Perkasa tidak terpengaruh dengan cerita yang dibawa atau pemesongan yang dibawa oleh mereka,” katanya.

Dalam program itu juga seramai 100 ahli dari parti Pas turut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Umno .