Kira-kira 3,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bahagian Beaufort bertindak keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Borang penyerahan itu diserahkan kepada Ketua Bersatu Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih sebelum bermulanya Persidangan Bahagian Bersatu di sini pada Sabtu.

Bekas Bendahari PKR Beaufort, Datuk Kinjos Duin berkata, tindakan menyertai Bersatu itu adalah disebabkan keyakinan ratusan bekas ahli PKR kepada kepimpinan Bersatu bahagian berkenaan.

"Sebenarnya saya dan 346 ahli PKR kagum dengan Bersatu Beaufort. Bagaimana pemimpin yang terdiri daripada Datuk Isnin, Datuk Azizah Mohd Dun dan Datuk Seri Lajim Ukin yang sebelum ini tidak sehaluan atau seteru boleh bersatu sebagai satu pasukan.

"Ini membuktikan mereka boleh mengemudi dan memimpin sekali gus membangunkan daerah ini demi menaik taraf ekonomi rakyat," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang keahlian di sini.

Selain itu, bagi Naib Ketua Bahagian UPKO Beaufort, Raymond Jury pula, kepincangan dalam hala tuju dan perjuangan UPKO memaksanya dan lebih 2000 ahli bertindak keluar dan menyertai Bersatu Beaufort.

"Kita keluar UPKO apabila melihat Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sudah hilang hala tuju.

"Perjuangan parti yang dibawa pada masa ini tidak lagi seperti perjuangan UPKO yang diwar-warkan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Isnin menjelaskan, tindakan lebih 3,000 ahli PKR dan UPKO menyertai Bersatu Beaufort itu bukti parti tersebut diminati.

Beliau turut menjangkakan lebih banyak ahli daripada kedua-dua parti akan menyertai Bersatu sekali gus cawangan-cawangan UPKO di Kuala Penyu akan bubar.

"Ini sudah pasti menunjukkan parti kita (Bersatu) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disukai, diminati dan mendapat sokongan akar umbi," katanya.