Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Ahli Parlimen UMNO untuk tidak meninggalkan jemaah dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat yang diwakili lebih daripada kepentingan peribadi.

"Saya berharap sebarang keputusan ahli parlimen atau ADUN harus berlandaskan keputusan untuk melihat bahawa mereka menjadi wakil rakyat berdasarkan sokongan rakyat dan bertanding atas nama parti.

"Maka sebarang keputusan dibuat harus mengambil kira dan menjaga rakyat serta parti yang kita wakili. Saya telah meminta mandat daripada ahli parlimen supaya sebarang keputusan yang dibuat perlu dibuat secara bersama.

"Saya sudah berjanji tidak akan meninggalkan jemaah. Itu adalah tanggungjawab saya sebagai imam (ketua)," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian selepas diminta untuk memberi respons berhubung keputusan bekas Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk keluar parti.

"Saya hormati keputusannya untuk berbuat demikian," jawab Zahid ringkas.