KUALA LUMPUR: Infrastruktur literasi politik perlu diperkasakan dalam kalangan anak muda bagi memastikan golongan tersebut meminati, memahami dan melaksanakan proses demokrasi dengan lebih baik.

Menurut Pensyarah Pembangunan Belia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad, literasi politik sewajarnya mula dipupuk pada peringkat sekolah bagi memastikan pembinaan pemimpin muda yang berkualiti dalam negara.

Katanya, sekiranya ia diamalkan daripada peringkat awal, tidak mustahil Malaysia bakal mempunyai Perdana Menteri yang lebih muda, bertenaga dan segar untuk membawa negara ke peringkat yang lebih gemilang.

“Pendidikan politik ini seharusnya dilaksanakan dengan lebih pantas, terancang dan efektif di peringkat sekolah lagi dan tidak semestinya kita perlu buat satu subjek khas, kurikulum khas dan sebagainya.

“Sebaliknya kita boleh mempelbagaikan pengajaran guru-guru yang diselitkan elemen-elemen demokrasi, pilihan raya supaya lebih komprehensif, malah daripada segi amalan, mungkin tidak mustahil selepas ini pemilihan ketua pengawas sekolah dan pemimpin pelajar melalui proses demokrasi.

“Boleh diadakan pemilihan, penamaan calon, protes-protes di sekolah dan promosi seperti ini akan mengalakkan generasi muda berusia 17 dan 18 tahun ini lebih terbuka dan membentuk keyakinan diri mereka,” katanya dalam program Menjelang Malaysia Memilih di Astro AWANI, pada Khamis.

Sementara itu, Mohd Mursyid berkata, usaha-usaha pendidikan politik perlu dirancakkan melalui media sosial yang dilihat merupakan platform digemari golongan belia dan ia tidak hanya terhad kepada peranan kerajaan, tetapi juga parti dan pemimpin politik.

“Dapatan kajian juga mendapati golongan belia cenderung untuk melihat media sosial mendapatkan perkembangan politik dan isu-isu semasa dan antara rating tertinggi seperti Twitter, Instagram, Facebook.

“Jadi kita boleh mempelbagaikan corak pendidikan politik secara lebih efektif dan tidak mustahil platform seperti Tiktok selepas ini akan fokus tentang tatacara untuk mengundi dan saluran YouTube ada video-video pendidikan politik yang lebih efektif.

“Ini perlu diperbanyak lagi kerana unsur-unsur pendidikan politik akan lebih dekat kepada golongan belia.

Tambah Mohd Murshid, bagi menarik lagi minat golongan belia terhadap perkembangan politik, lagu-lagu seperti 'Marilah Mengundi' perlu diremajakan semula supaya generasi tersebut memahami akan kepentingan mengundi yang membawa implikasi besar kepada negara sekaligus dapat mengangkat suara mereka.