#MalaysiaMemilih: Pas hanya berangan-angan - Ahmad Jazlan

Muhafandi Muhamad
Januari 22, 2018 09:23 MYT
Hasrat Pas untuk membentuk kerajaan disifatkan sebagai angan-angan. - Facebook Ahmad Jazlan Yaakob
Pas disifatkan sebagai berangan-angan apabila bakal membentuk kerajaan sendiri atau menyertai pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, berdasarkan urus tadbir Pas di Kelantan, parti itu telah memperlihatkan banyak kegagalan dalam membangunkan negeri itu terutama dalam soal pekerjaan, perumahan dan sebagainya.
Menurutnya, Pas dilihat sengaja menimbulkan polemik seumpama itu bagi memperlihatkan kemampuannya mentadbir walaupun sebaliknya.
“Saya rasa ini perkara agak nakal sebab rakyat dapat menilai dan melihat sepanjang era pemerintahan di Kelantan selain di Terengganu serta Kedah, mereka (Pas) tidak mampu mentadbir,” katanya kepada pemberita selepas program touch-point Parlimen Machang di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu berhasrat untuk membentuk kerajaan sendiri atau menyertai pembentukan Kerajaan baharu selepas pilihan raya umum akan dating selain menyatakan Pas bukan parti pembangkang yang lemah.
Kenyataan Abdul Hadi itu tidak lebih seperti ‘kanak-kanak bermain masak-masak’ yang hanya berbentuk polemik menjelang pilihan raya.
#Abdul Hadi Awang #Ahmad Jazlan Yaakob #angan-angan #Kelantan #machang #PAS #PRU14 #UMNO #urus tadbir