SHAH ALAM: Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik meminta ahli dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperjuangkan semula Program Sarapan Percuma yang hampir dilaksanakan pada 2019.

Menurutnya, sebelum ini beliau memperjuangkan isu berkenaan secara berseorangan dalam Dewan Rakyat memandangkan statusnya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Bahkan, ketika bersama parti terdahulu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu mendakwa perjuangannya tidak mendapat sokongan daripada pemimpin parti.

"Tapi kali ini, saya bersama PKR. Jadi saya minta akar umbi, pimpinan parti, mari kita perjuangkan Program Sarapan Percuma seperti mana kita perjuangkan pada 2019 yang lalu tapi telah dihentikan pada waktu itu dan tidak diteruskan kerajaan pada waktu ini.

"Kita hidupkan semula. Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tahu perkara ini kerana dalam Kabinet, hanya Kak Wan sokong saya, lain tak sokong.

"Jadi kita perjuangkan semula. Parti kita parti hentikan derita rakyat. Parti kita menjulang keadilan, parti kita parti mengangkat pendidikan," katanya ketika membahaskan Usul Pendidikan pada Kongres Keadilan Ke-16 di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, usaha untuk mereformasikan pendidikan tidak boleh hanya diserahkan kepada Menteri Pendidikan kerana kuasanya terhad.

"Ia harus bermula dengan Perdana Menteri itu sendiri. Kita perlu Perdana Menteri yang cakna pendidikan, perlu yang ada visi pendidikan. Kita tak mahu Perdana Menteri terkongkong, terperangkap dengan 'zaman silam dinosaur' dia.

"Kita perlukan Perdana Menteri yang faham derita rakyat, yang hidup bersama rakyat.

"Kalau begitu, jika inginkan Perdana Menteri yang boleh sokong revolusi pendidikan sebenar, faham jiwa rakyat dan membawa negara ke hadapan... izinkan saya cadangkan tak lain tak bukan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (sebagai Perdana Menteri)," ujarnya yang kemudian disambut tepukan gemuruh anggota parti.