KUALA LUMPUR: Sentimen politik wilayah di Sabah dan Sarawak terhadap Semenanjung dijangka memberi kelebihan kepada pemerintah di dua wilayah itu sekiranya dimainkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, sentimen itu terbukti berkesan untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat di dua wilayah itu. 

"Kalau kita lihat Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun 2016 dan 2021, kita lihat politik wilayah sentiasa mendapat tempat dan kedudukan oleh rakyat dan dimainkan oleh pemimpin Negeri Sarawak khususnya GPS.

"Apabila mereka bereksperimen sejak zaman Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dengan politik etno-nasionalisme iaitu menggunakan sentimen kewilayahan, setempat untuk mendapatkan sokongan dan dilihat terbukti memberi kesan," jelasnya.

Tambah Awang Azman lagi, beliau menjangkakan lebih banyak isu mengenai dua wilayah itu terhadap Putrajaya akan dimainkan terutama melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Saya kira menjelang PRU15 sentimen yang sama juga akan digunakan, isu mengenai hak Sarawak, isu perlu pertambahan kerusi sebanyak 35 peratus di Sabah dan Sarawak, isu cukai SST ke atas Petronas, tuntutan Autonomi lebih banyak kepada Sabah dan Sarawak itu akan sentiasa dimainkan.

"Sebab mereka tahu isu tersebutlah yang mendapat tempat di hati rakyat di Sabah dan Sarawak. Saya kira isu ini akan berterusan selagi hak Sabah dan Sarawak itu khususnya dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 belum dilihat diterjemahkan secara menyeluruh," katanya lagi.

Mengulas lanjut tambahnya, sentimen politik wilayah juga dapat memberi kelebihan buat kedua wilayah itu bagi mendapatkan tuntutan serta tawar menawar dengan Kerajaan Persekutuan.

Malah kelebihan yang didapati menerusi tuntutan itu jelasnya lagi, juga dilimpahkan kepada rakyat sebagai contoh pengambilan universiti swasta dibawah Kerajaan Negeri Sarawak bagi memajukan sektor pendidikan di negeri itu. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung politik wilayah sempit yang dimainkan di Sabah dan Sarawak.

Rafizi dalam satu kenyataan sebelum ini menyeru penduduk di Sabah dan Sarawak agar tidak termakan permainan politik wilayah sempit yang disifatkannya memecahbelahkan persaudaraan dengan Semenanjung.

Jelasnya, punca utama kepada masalah seperti kemiskinan di Sabah dan Sarawak adalah disebabkan penguasa politik yang melakukan rasuah dan penyelewengan.