Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mendakwa golongan belia kecewa selepas memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, beliau didatangi golongan belia yang memohon maaf kepadanya.

“Mereka salam dengan saya, mereka kata ‘minta maaf, Datuk’. Bila dia minta maaf, saya tahu dia undi PH dulu. Minta maaf, dia (belia) sudah menyesal.

“Orang muda menyesal kerana yang dijanji (seperti) hutang PTPTN hari ini bukan sahaja hutang dilupuskan, tetapi (graduan) dimarahi pula, dan diherdik, kenapa hutang tak bayar balik?” katanya ketika menyampai ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Brunei, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, kebanyakan rakyat kecewa apabila kebajikan mereka terabai selepas PH mengambil alih kerajaan.

“Sekarang ini yang dulu naik, semua turun ada yang tak dapat, betul?

“Tadi macam ketua PDM sebut, nelayan-nelayan hampa, pekebun kecil hampa, guru-guru sekolah pun hampa, suri rumah tangga pun hampa, (dan) orang muda pun hampa,” ujarnya.