KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong dijangka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis, dipercayai berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri ke-10.

Memetik laporan The Star, mesyuarat khas berkenaan bagi Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan.

Portal itu turut berkata, mesyuarat akan bermula pada pukul 10.30 pagi dan dijangka berlangsung sekurang-kurangnya tiga jam.

Sumber-sumber Istana, dipetik sebagai berkata mesyuarat khas itu disifatkan sebagai penting.

Hari ini, Istana Negara menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula pukul 10.30 pagi ini.

Bagaimanapun, setakat ini hanya tiga wakil BN dan wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang hadir menghadap Seri Paduka Baginda.

Keputusan itu dibuat selepas tiada Ahli Dewan Rakyat memperoleh kepercayaan majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Istana Negara dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.