LAHAD DATU: Kekecohan dan pergaduhan tercetus di Dewan Sri Perdana di sini, ketika perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu sedang bersidang, hari ini.

Menurut sumber, kekecohan tersebut didakwa berlaku akibat provokasi daripada segelintir penyokong-penyokong calon yang bertanding dalam Pemilihan UMNO berkenaan.

Berdasarkan video yang tular, ketika Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Mejar (B) Khalid Harun berucap, terdapat penyokong yang tidak berpuas hati menceroboh menaiki pentas.

Tindakan itu seterusnya menyebabkan lebih ramai lagi penyokong menaiki pentas sehingga mencetuskan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Rohan Shah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.