KUALA LUMPUR: Seramai 158 daripada 191 Ketua Bahagian UMNO yang menghadiri mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti, di sini, hari ini, menyatakan kesepakatan mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam kadar segera.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, keperluan untuk membubarkan Parlimen merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Ketua Bahagian UMNO dengan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato' Onn.

Berikutan undangan menghadiri mesyuarat tergempar itu lewat dikeluarkan, kata Jamal, hanya 158 daripada 191 ketua bahagian sahaja yang dapat menghadirinya.

Namun begitu, baki 33 ketua bahagian yang tidak menghadiri mesyuarat berkenaan juga, kata Jamal, turut menyatakan pendirian yang sama.

"Keputusan sebulat suara tadi, Ketua Bahagian UMNO satu Malaysia mahu PRU diadakan pada kadar segera.

"Keputusan ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri sama ada oleh Presiden atau Setiausaha Agung," katanya ketika ditemui media di lobi Menara Dato' Onn sejurus berakhir pertemuan itu.

Kata Jamal, mesyuarat berkenaan juga sudah selesai dengan kebanyakan ketua bahagian sudah pulang.

Ditanya adakah kes mahkamah Datuk Seri Najib Tun Razak dan desakan untuk membubarkan Parlimen disentuh dalam mesyuarat tersebut, beliau menegaskan kedua-dua isu tersebut tidak dibangkitkan.

Jamal juga mengesahkan Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menyertai mesyuarat tersebut kerana terikat dengan program lain.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid juga, jelas Jamal, tidak hadir kerana menghadiri program lain.

Selain Ahmad Zahid, Jamal berkata, mesyuarat tergempar itu turut disertai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Terdahulu, beberapa pemimpin UMNO dilihat mengunci mulut, tidak berkongsikan maklumat berkaitan mesyuarat tersebut.

Kata mereka kepada petugas media yang berkampung di Menara Dato’ Onn, mesyuarat tergempar itu hanya membincangkan isu-isu biasa sahaja