KUALA LUMPUR:Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mempunyai peruntukan untuk mencadangkan agar Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi ditangguhkan sementara waktu berikutan situasi pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, pengamal Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari apabila berlaku kekosongan selepas pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, keadaan sebaliknya boleh berlaku sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

“Di bawah Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan, (kekosongan) kerusi itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari daripada ia diberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Maknanya sekarang ini Speaker (Dewan Rakyat) telah memberi notis kepada SPR yang kerusi itu kosong kerana kematian penyandangnya. Maka, di bawah Perkara 54, tiada pilihan mesti diadakan pilihan raya dan tiada kuasa undang-undang lain kecuali sekiranya Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

“Apabila mengisytiharkan darurat maka peruntukan Perlembagaan itu boleh ditangguhkan dan undang-undang darurat boleh dikemukakan untuk menangguhkan pilihan raya di Batu Sapi. Tetapi setakat ini tidak ada (darutat), maka ia perlu dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, pakar Perlembagaan itu berkata, SPR boleh mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu termasuk tidak mengadakan kempen secara fizikal bagi mengawal penularan COVID-19.

“Mungkin kempen secara dalam talian sahaja, memendekkan waktu kempen atau tiada perhimpunan ketika kempen dan sebagainya.

“Tetapi, pilihan raya mesti dilaksanakan,” jelasnya lagi.

BACA: Ahli Parlimen Batu Sapi, V K Liew meninggal dunia

Ditanya mengenai saranan untuk mengadakan undi pos kepada semua pengundi berdaftar di Parlimen Batu Sapi, beliau berkata, perkara itu tidak termaktub dalam akta dan undang-undang, setakat ini.

Jelasnya, akta sedia ada perlu dipinda terlebih dahulu bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan.

“Setakat ini memang tidak boleh hanya mereka yang layak di bawah peraturan pengundian pos sahaja yang boleh mengundi secara pos, orang lain tidak boleh.

“Jadi, kalau nak buat semua secara pos, perlu perubahan kepada undang-undang itu,” katanya.

Terdahulu, SPR mengumumkan PRK Parlimen Batu Sapi tetap perlu diadakan selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan dan mesyuarat khas mengenainya akan diadakan pada 13 Oktober depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting.

Setakat ini beberapa parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Sabah (PCS) mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK tersebut, jika ia diadakan.

PRK Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, pada 2 Oktober lalu.

Vui Keong, 60 tahun, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi adalah kerusi yang diwujudkan pasca persempadanan semula kawasan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2003 dan seterusnya PRU 2004 hingga PRU 2018.

Parlimen tersebut mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sekong dan Karamunting yang masing-masing dimenangi Parti Warisan Sabah (Warisan) pada pilihan raya negeri lalu.

BACA: PRK Batu Sapi: BN tidak letak calon, fokus kesihatan rakyat - Zahid Hamidi

BACA: Pilihan raya ketika krisis COVID-19: PRK Batu Sapi perlu ditangguh