KUALA LUMPUR: Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen umum meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau memaklumkan surat rasmi peletakan jawatan akan diserahkan kepada Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu.

Beliau juga memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang menjalankan tugas berkenaan.

Peletakan jawatan ini katanya bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat segala persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Mohd Rafiq, tindakan melepaskan jawatan berkenaan juga bagi membolehkan segala fokus dapat diberikan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

Ia juga bagi membolehkan dirinya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU15.

Beliau turut berharap dan berdoa agar rakyat Melaka dan Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut disampaikan harapan agar PN akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada PRU15 yang bakal tiba nanti.