KUALA LUMPUR: Dialog Tiga Penjuru minggu ini masih berkisar tentang hal yang sama, tentang bagaimana kerjasama antara kerajaan dan pembangkang dapat benar-benar dijalin.

Saban hari, minggu dan bulan kita masih berbicara hal ini kerana budaya politik Malaysia yang tidak sudah-sudah bertelagah antara blok pentadbir dengan blok penyanggah sudah sampai ke kemuncaknya dan memerlukan perubahan.

Apabila sesuatu yang terlalu lama menjadi kebiasaan, untuk berubah itu agak sukar tetapi pasti ada jalannya. Itulah yang sedang dicari dalam dialog-dialog di pentas arus perdana mahupun arus alternatif.

Ketika ini soal keterbukaan kedua-dua pihak masih dilihat berada pada ruang kelabu, tidak dapat dipastikan keikhlasan, ketulusan dan kesungguhan sebenar-benarnya kerana sejujurnya nafsu untuk terus merebut kuasa masih ada.

Namun keadaan meruncing dek pandemik COVID-19 memaksa ia diletakkan ke tepi buat seketika, dan kedua-dua pihak diseru supaya bersama untuk membawa negara keluar daripada krisis yang hakikatnya menghimpit rakyat.

Walaupun itulah yang sebenar-benarnya diharapkan, budaya politik yang sekian lama berasaskan pertentangan antara dua blok membuatkan rakyat skeptikal terhadap usaha penyatuan ini.

Kerajaan sudah bertukar, walaupun dengan barisan Kabinet yang kebanyakannya orang yang sama, keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disanggah tatkala Baginda sudah bertitah supaya segala tumpuan ketika ini adalah untuk memulihkan negara bersama.

Mungkin ada antara ahli politik ini melihat langkah berganding tangan akan mematahkan taring politik masing-masing. Namun kehebatan apa yang mahu dibuktikan ketika ramai sudah kehilangan orang tersayang, kehilangan kerja dan kehilangan semangat untuk hidup?

Masing-masing pastinya mempunyai syarat dan permintaan sebelum boleh benar-benar terbuka untuk bekerjasama, tetapi sejauh mana syarat diletakkan itu lebih menguntungkan rakyat dan negara secara seluruhnya dan bukan bersifat peribadi semata-mata?

Selagi orang politik tidak berubah mindanya dan berpolitik itu hanya kerana kemegahan dan keuntungan sendiri tetapi bukan atas dasar kesedaran untuk berkhidmat kepada alam sekitarnya, sampai bila pun negara ini takkan sejahtera.

Pentas kerjasama sudah didirikan, cuma tinggal kedua-dua pemain perlu berani, ikhlas, jujur, dan penuh rasa tanggungjawab menggalas amanah rakyat untuk naik ke pentas itu dan berganding bahu tanpa prasangka dan prejudis.

Jalan-jalan untuk membawa kepada kebersamaan itu akan tetap terus dicari, kali ini di pentas Dialog Tiga Penjuru disertai oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma; dan Ketua Pemuda Pas Malaysia merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Khairil Nizam Khirudin.

Malam ini jam 8.30, hanya di saluran 501 Astro AWANI dan astroawani.com.