KUALA LUMPUR: Perpaduan bangsa dan agama yang dirintis oleh UMNO dan Pas tidak akan mencapai hikmahnya tanpa melibatkan kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sehubungan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan, keanggotaan Muafakat Nasional (MN) tidak seharusnya terhad kepada UMNO dan Pas atau Bersatu semata-mata.

Dalam masa sama, Abdul Hadi menegaskan, perpaduan umat pula bukan hanya merangkumi kelompok Melayu dan Islam sahaja, tetapi mestilah juga meliputi seluruh masyarakat majmuk termasuklah golongan bukan Islam dan bukan Melayu.

“Hari ini kita di Malaysia berjaya menyatukan umat melalui pendekatan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). Permulaannya dengan perpaduan Islam dan Melayu serta Bumiputera dengan gagasan MN.

“Seterusnya mengumpulkan tiga buah parti Melayu terbesar bersama rakan-rakan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyempurnakan usaha menukar kerajaan secara demokrasi berparlimen.

“Kemudian bergerak ke arah penyelesaian masyarakat majmuk, maka mestilah diikuti oleh penyertaan daripada kalangan parti bukan Melayu dan bukan Islam dengan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam catatan Minda Presiden Pas yang dimuat naik di akaun Facebooknya pada Khamis.

 
Sumber Facebook abdulhadiawang

Dalam catatan itu juga, Ahli Parlimen Marang itu membidas sikap pihak tertentu yang cuba menggagalkan perpaduan umat hanya semata-mata kerana gilakan kuasa.

Abdul Hadi memberi contoh bagaimana kejayaan kerajaan PN mengambil alih Putrajaya dirosakkan oleh golongan yang berkepentingan.

“Kita menyaksikan selepas kejayaan mengambil alih Putrajaya (kerajaan Persekutuan), betapa peranan yang dipergunakan oleh pihak tertentu yang gilakan kuasa untuk menggagalkan perpaduan umat.

“Pada masa yang sama, golongan tersebut berusaha untuk memecahbelahkannya dengan provokasi yang dicipta atau diolah mengikut perancangannya yang jahat terhadap umat.

“Perkara tersebut dilakukan semata-mata demi memenuhi kehendak dan kepentingan peribadi. Antara tindakan yang dilakukan ialah mengadu domba pada titik perbezaan yang wujud, walaupun perkara tersebut tidak penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting,” kata Abdul Hadi lagi.