KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dari sudut pandangan yang positif.

Beliau yang kini merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) akui tidak menyesal dengan keputusan untuk melepaskan jawatan tertinggi dalam kerajaan itu, kerana ianya adalah merupakan satu langkah yang dibuat atas prinsip Perlembagaan.

"Ini bukan soal menyesal atau tidak menyesal. (Ini) satu prinsip yang menyokong Perlembagaan negara, yang saya lihat pada waktu itu adalah saya tidak lagi mempunyai sokongan majoriti disebabkan 15 Ahli Parlimen UMNO tidak menyokong saya.

"Maka saya tidak bertahan lama dan kena melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang manusia (umat) Islam untuk meninggalkan jawatan itu. Jadi saya melepaskan jawatan ataupun meletakkan jawatan. Itu satu perkara yang saya katakan soal Perlembagaan, soal duniawi," katanya dalam program temu bual Agenda AWANI pada Selasa.

BACA: Boleh 'hentam', tetapi saya pilih untuk utamakan rakyat - Muhyiddin

Malah beliau juga melihat keputusan penting itu sebagai takdir dan atas ketentuan Allah SWT.

"Kita tidak boleh bawa perkara ini ke akhirat. Yang penting, ini sudah ditakdirkan Allah, saya terima ini sebagai satu takdir.

"Tetapi itu tidak melemahkan semangat saya untuk melakukan perkara yang saya fikirkan wajar. Mana yang betul, betul di sisi Allah dan bukan di sisi saya. You have to do what is right, itu menjadi panduan saya.

"Jadi soal menyesal tidak pernah berbangkit dalam kamus hidup saya. Ini saya fikirkan utama dan tugas yang perlu saya pikul dengan sebaiknya kerana apa yang saya utamakan adalah rakyat," kongsi beliau.

Menyentuh mengenai tugasnya sebagai Pengerusi MPN, beliau menjelaskan, beberapa perkara perlu diberi penekanan dalam memastikan keberkesanan fungsi majlis itu dapat dicapai dalam usaha untuk memulihkan negara.

Penyertaan dengan wakil dari parti pembangkang dalam melunaskan idea serta pandangan melalui majlis berkenaan dapat memberi kebaikan kepada rakyat.

"Satu yang saya fikirkan adalah pembentukan majlis itu mempunyai komposisi beberapa pihak pemain-pemain utama termasuk bi-partisan. Dalam erti kata lain kita akan menjemput wakil-wakil pihak pembangkang bersama-sama (memberikan pandangan dalam majlis ini).

"Jadi itu tentunya baik dari segi kita mengurangkan politicking. Seperti yang kita tahu masalah-masalah yang kita ada sebelum ini yang mana mempersoalkan banyak perkara.

"Saya faham tujuannya adalah untuk memulihkan ekonomi negara kita, tetapi politik adalah politik. Itu mungkin akan mengganggu dari soal tumpuan kita untuk memulihkan negara," katanya.

Dalam masa sama, tambah Muhyiddin, dua perubahan lain yang diperlukan melalui MPN adalah melibatkan masyarakat dan memberikan maklumat secara telus tanpa ada niat tersembunyi.

"Bukan setakat melaksana sahaja, tetapi yang akan menerima faedah ataupun tidak dapat menerima faedah itu (perlu difikirkan). Harus kita fahamkan penyertaan masyarakat dari pelbagai peringkat termasuk badan-badan bukan kerajaan, profesional dan lain-lain adalah penting.

"Kita harus mempunyai perancangan yang jelas dan perkara ini harus dilakukan oleh MPN secara terbuka.

"Kita perlu melakukan sesuatu perkara secara transparent, umum tahu dan bukannya diselindung dengan muslihat politik tertentu. Ini untuk kebajikan dan faedah rakyat jelata," ujar beliau dalam temu bual sama.