Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berpendapat tindakan UMNO Kedah yang mengumumkan pendirian hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menjadikan menteri besar negeri itu sebagai wira dan tokoh muda terbilang.

Menurut Ibrahim, Mukhriz tidak rugi apa-apa di dalam saga krisis menteri besar ini sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berdepan kerugian.

"Malah generasi muda melihat Mukhriz adalah ikon mereka.

"Apa pun Mukhriz tidak rugi apa apa kerana beliau masih muda dan banyak masa," kata Ibrahim dalam kenyataan medianya hari ini.

Hampir 1,000 orang berkumpul di pekarangan Bangunan UMNO Negeri Kedah di sini malam ini sebagai tanda sokongan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir

Pada masa yang sama, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai tindakan kepimpinan bahagian UMNO di Kedah yang hadir pada sidang media semalam.

"Apakah mereka tidak percaya di atas perlantikan yg dibuat oleh Perdana Menteri dan mereka akan di rujuk kepada Jawatankuasa Disiplin?" soal Ibrahim.

Beliau juga bimbang sekiranya langkah UMNO Kedah ini dihalalkan oleh kepimpinan UMNO Pusat, ia bakal menjadi ikutan di negeri-negeri lain.

BACA: Krisis UMNO Kedah: Dahulukan kepentingan rakyat - Muhyiddin

BACA: 'Serah kepada rakyat nilai prestasi saya' - Mukhriz

BACA: Hampir 1,000 berkumpul nyata sokongan terhadap Mukhriz

"Berilah atas apa alasan sekali pun, jika isunya Mukhriz lemah dengan alasan-alasan kabur, bagaimana pula pengerusi-pengerusi UMNO dan menteri besar negeri lain?

"Contohnya Datuk Seri Mustapha Mohamed yang sudah lama menerajui UMNO Kelantan dan dengan jawatan-jawatan dalam Kerajaan Pusat, tapi masih gagal menebus kekalahan BN di Kelantan.

"Apakah UMNO Kelantan berpuas hati dengan kepimpinan Datuk Seri Mustapha Mohamad?" soalnya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, Mukhriz dikatakan merupakan antara 'winning factor' atau faktor kemenangan buat BN merampas semula negeri Kedah daripada Pas.