ALOR SETAR: Lafaz sumpah dan baiah oleh para pemimpin utama dan calon-calon pilihan raya yang dipilih mewakili Pas  adalah lebih berkesan jika dibandingkan dengan undang-undang lompat parti yang baru sahaja diperkenalkan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan, perkara berkenaan telah ditegaskan di dalam Perlembagaan parti sehingga mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti ahli-ahli parti itu.

"Sepatutnya Pas diberi lebih kepercayaan kerana adanya ikatan baiah yang lebih hebat daripada undang-undang kini yang luput tarikhnya,

"Sesiapa yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana mereka kepanasan walaupun berada dalam bilik berhawa dingin, atau dipecat dengan tindakan disiplin.

"Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang, sentiasa menambahkan ahli, kawasan, cawangan dan penyokong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Pas juga membuktikan pelaksanaan yang berkesan berhubung amalan integriti tinggi, dimana ia ditonjolkan di negeri-negeri yang diperintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain beberapa kementerian yang ditugaskan meskipun dengan bidang kuasa terbatas.

Perkara ini, tegasnya berjaya dilakukan kerana berpegang kepada kaedah yang ditetapkan oleh para ulamak.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menyatakan bahawa Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah yang telah dikuasai Pas adalah ‘negeri pangkalan’ yang wajib dipertahankan dan dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.

Kawasan Parlimen dan DUN yang telah dimenangi di beberapa negeri juga perlu diberikan perhatian terutama untuk menarik sokongan rakyat seramai mungkin.

Ia mesti dilakukan dengan apa jua cara melalui kefahaman dan kesedaran, termasuk khidmat masyarakat dan kegiatan sosial.