KOTA BHARU: Muktamar Pas akan diadakan pada November tahun ini selepas ianya tidak boleh ditangguhkan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata muktamar itu terpaksa diadakan selewat-lewatnya sebelum 31 Disember 2021 berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Pertubuhan, RoS.

“Pas pada asalnya memohon pada RoS untuk menangguhkan Mesyuarat Agung dan pemilihan selepas kalau ada pilihan raya, lepas pilihan raya tetapi kita hanya diberikan kebenaran oleh RoS sehingga 31 Disember 2021 sahaja.

“Maknanya pemilihan dan muktamar perlu diadakan sebelum 31 Disember. Maka kita akur arahan sekarang kita adakan mesyuarat cawangan dan awal November kita akan adakan muktamar secara hibrid dan fizikal,” katanya di sini hari ini.

Muktamar Pas | RoS tolak penangguhan, bakal diadakan November


Takiyuddin berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas menyampaikan bantuan komputer riba kepada pelajar  cemerlang Maahad Muhammadi perempuan di sini hari ini.

Muktamar kali ini dijangka diadakan di Terengganu secara hibrid dengan sesi sama ada melibatkan kehadiran perwakilan atau secara maya.

Sekiranya membabitkan kehadiran, jumlah kehadiran dihadkan sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) menangani COVID-19.

Takiyuddin turut berkata muktamar kali ini membabitkan pemilihan kesemua jawatan tertinggi parti.

Kaedah pemilihan akan dibincangkan sama ada secara maya atau hibrid.

Muktamar tahun lepas diadakan di Kelantan dalam  norma baharu dan pematuhan SOP yang ditetapkan.