Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan seterusnya mengadakan pilihan raya negeri mengejut, tegas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Dalam satu sidang media hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu berkata, beliau sudah mempunyai 33 akuan bersumpah (SD) ADUN yang menyokong beliau, seterusnya mempunyai majoriti mudah untuk bentuk kerajaan baharu.

Ujarnya lagi, adalah tidak wajar untuk membazirkan wang serta mendedahkan rakyat kepada risiko penularan wabak COVID-19, semata-mata untuk kepentingan peribadi.

“Kalau kita perhatikan dengan keadaan wabak COVID-19 yang melanda negara kita termasuk Sabah, pembubaran DUN adalah langkah tidak wajar. Kerana yang ada hari ini jelas di sini bahawa ada 33 ADUN iaitu simple majoriti membolehkan kita menubuh kerajaan negeri.

“Saya juga kira, kepentingan dan kesihatan rakyat, jadi keutamaan kita dalam buat sebarang keputusan. Jangan sekali kali kita perjudikan nyawa rakyat semata mata untuk kepentingan peribadi dan politik,” katanya lagi.

Awal hari ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Dalam satu sidang media khas pada Khamis, Mohd Shafie menjelaskan, pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam jangka masa 60 hari dan beliau akan terus menjadi Ketua Menteri Sabah sementara (caretaker).

BACA: Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

BACA: PH sifatkan tindakan Musa tidak bermoral, seru rakyat Sabah sokong Shafie



Mengulas mengenai langkah Mohd Shafie, Musa berkata, perlembagaan negeri memperuntukkan bahawa Tun Juhar perlu memberi pertimbangan terhadap surat akuan yang dimilikinya.

“Adalah amat jelas bahawa dari aspek undang-undang dan perlembagaan Sabah, bahawa saya layak dilantik TYT untuk menjadi Ketua Menteri Sabah kerana saya mempunyai sokongan majoriti yang mencukupi.

“TYT mempunyai tanggungjawab di bawah perlembagaan untuk memberi pertimbangan yang wajar sama ada saya mempunyai majoriti untuk tubuhkan satu kerajaan baharu bagi Sabah,” katanya lagi.

Selain itu, Musa berkata, Kerajaan Warisan pimpinan Mohd Shafie ketika ini berada dalam keadaan lemah, serta tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat.

Ujarnya lagi, atas faktor itu, maka beberapa ADUN Pakatan Harapan dan Warisan mengambil keputusan meninggalkan parti mereka dan menyertai gabungan Musa.

“Kerajaan yang ada pada hari ini, iaitu Kerajaan Warisan amat lemah sekali. It’s a weak government. Sebab itu mereka mahu saya kembali menerajui dan mengetuai kerajaan negeri Sabah.

“Ini jelas terbukti kerana bersama saya, adalah 33 ADUN termasuk saya sendiri, wakil-wakil rakyat yang sudan menandatangani surat akuan, yang mana saya telah serahkan kepada TYT pada pagi ini melalui peguam-peguam saya,” katanya lagi.