IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming memuji pentadbiran negeri di bawah Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang disifatkan berjaya mempamerkan politik matang.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP negeri itu berkata, perkara itu terbukti apabila kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan secara saksama kepada semua ADUN selain kehadiran pembangkang di mesyuarat kerajaan negeri.

“Langkah ini menjadikan Perak antara negeri terawal mempamerkan semangat kematangan berpolitik aras yang tinggi. Ia adalah permulaan yang positif dan model di Perak mampu mengubah landskap politik negara.

“Selain itu ia juga telah mendapat pengiktirafan dalam titah Tuanku (Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semasa pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu).

“Justeru ini merupakan langkah membina budaya politik yang berpaksikan kepada agenda reformasi dan kepentingan rakyat secara keseluruhan. Inilah permulaan yang baik dan kematangan politik di aras tertinggi. Perak jadi teladan terbaik, syabas saya ucapkan kepada Menteri Besar,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Sultan Perak, pada persidangan DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, pada Khamis.

Sementara itu, Kor Ming berkata di bawah konsep ‘Keluarga Malaysia’, sudah tiba masanya semua pihak mengenepikan sifat politik perkauman atau agama yang melampau.

“Marilah kita seperti dikatakan pepatah Melayu, buang yang keruh, ambil yang jernih. Sempena bulan kemerdekaan ini saya menggesa kerajaan dapat melakukan langkah-langkah yang konkrit untuk memberhentikan politik perkauman dan fahaman sempit agama yang ekstrim,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kor Ming mengemukakan cadangan memperkukuhkan institusi dan Reformasi Dewan Negeri dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Kesihatan Awam serta Pengurusan Tanah.

“Kedua saya mencadangkan, supaya wakil pembangkang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Perak. Ini telah diamalkan di Dewan Rakyat dan DUN Perak harus mencontohi teladan baik ini demi memastikan keberkesanan sistem semak dan imbang.

“Ketiga, sebagaimana dengan janji bekas Perdana Menteri dan selaras dengan agenda reformasi, yang mana Ketua Pembangkang Dewan Rakyat akan diberi kedudukan bertaraf menteri, maka Ketua Pembangkang DUN Perak wajar diberi kedudukan bertaraf EXCO Kerajaan Negeri.

“Seterusnya saya mengusulkan agar Enakmen Negeri dan Perintah Tetap Dewan Negeri dipinda supaya PAC mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dan memberi keterangan semasa proses soal siasat,” ujarnya lagi.