SHAH ALAM: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tindakan dua ahli UMNO menghantar notis bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya sebagai tepat dan berani.

Khairy yang juga Bekas Menteri Kesihatan berkata, tindakan yang diambil ahli UMNO dari Kuala Terengganu dan Seremban itu menunjukkan masih ada individu yang berani dan waras dalam UMNO.

"Syabas semua, saya yakin dengan kredibiliti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk membuat semakan terhadap usul Rembau di PAU," jelasnya melalui Instagram pada Jumaat.

Beliau memuat naik kapsyen berserta gambar ahli UMNO, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir bersama tiga ahli UMNO akan menghantar notis bantahan tersebut di Jabatan RoS, Putrajaya pada jam11.30 pagi Jumaat sebagai sokongan terhadap tindakan terbabit.

Sinar Harian melaporkan UMNO didakwa melanggar Perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung (PAU) yang lalu.

Muhammad Aizat Fikri memberitahu, perkara itu berlaku apabila usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diperkenalkan semasa ucapan pencadang usul Ucapan Dasar Presiden pada persidangan tersebut.

Menurutnya, tindakan tersebut telah melanggar Peraturan 10 yang mana menyatakan sebarang usul perlulah disampaikan dalam tempoh 14 hari, namun tiada notis yang dihantar kepada perwakilan dalam tempoh tersebut. -- Sinar Harian