Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini dilaporkan gagal memasuki Sarawak sejurus tiba di Lapangan Terbang Miri, pagi ini.

Laporan awal oleh jurucakap PKR di Sarawak berkata Nurul Izzah dihalang memasuki Sarawak menerusi Lapangan Terbang Sibu, namun membetulkan kenyataan dengan menukar lokasi ke Lapangan Terbangan Miri.

Sementara itu Nurul Izzah dalam kenyataan twitternya melahirkan rasa terkejut dengan halangan untuk memasuki negeri Sarawak.

“Terkejut, tidak dibenarkan masuk meskipun telah menghantar surat kepada Ketua Menteri,” katanya.



Nurul Izzah yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, membuat rayuan untuk diberikan kebenaran memasuki Sarawak menerusi sepucuk surat pada 29 April lalu kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Ia setelah Pengarah Imigresen Negeri Sarawak mengeluarkan Notis Penolakan Masuk terhadapnya sebelum ini.

Kehadiran Nurul Izzah di Sarawak dikatakan untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke- 11 oleh PKR.

Selain Nurul Izzah, beberapa pemimpin pembangkang dari Semenanjung turut tidak diberikan kebenaran untuk memasuki negeri Bumi Kenyalang itu sebelum ini.

Sementara Menteri Besar Selangor, merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula telah dihadkan tempoh tinggal mereka oleh pihak berkuasa negeri.