Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel hari ini menggantung keahlian 15 orang pemimpinnya termasuk Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Naib Presiden, Datuk M. Saravanan.

Palanivel berkata penggantungan ini akan berkuat kuasa serta-merta untuk tempoh 12 bulan.

Beliau bertindak demikian atas sebab satu notis bertarikh 15 Jun 2015 untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) interim 2009-2013, yang dikeluarkan oleh ahli-ahli CWC itu sendiri.

"Sepatutnya, notis seperti itu hanya boleh dikeluarkan oleh Setiausaha Agung MIC sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan MIC.

"Sejurus itu, pada tarikh yang sama, saya telah mengeluarkan memo kepada semua ahli CWC interim dan pemimpin lain untuk membatalkan mesyuarat haram CWC interim tersebut dan kemukakan notis pembatalan kepada saya.

“Walau bagaimanapun, mesyuarat yang dijadualkan tidak pula dibatalkan.

"Adalah jelas bahawa tindakan individu-individu terbabit memudaratkan kepentingan MIC,” kata Palanivel dalam satu kenyataan media hari ini.

Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata surat penggantungan telah dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, di bawah Artikel 13.2 Perlembagaan MIC, mereka tidak boleh menjalankan apa-apa hak sebagai seorang ahli parti di bawah Artikel 13.1, 13.1.1, 13.1.2, 13.1.3 dan 13.1.4.

Selain daripada Subramaniam dan Saravanan, Palanivel turut menggantung keahlian Datuk Seri S. K. Devamany, N. Rawisandran, Datuk R. Ganesan, Datuk M. Davendran, Datuk KRA Naidu, Datuk V. M. Panjamothy, P. Manivasagam, S. Ananthan, M. Mathuraiveran, Datuk M. Asojan, P. Shanmugan, K.R. Parthiban dan Mohana Muniandy.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak dua pemohonan semakan kehakiman oleh Palanivel dan empat individu lain yang mencabar arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan pemilihan semula parti.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad memutuskan bahawa tiada sebab untuk mahkamah campurtangan dalam keputusan RoS memandangkan ia adalah munasabah dan rasional, sejajar dengan Seksyen 16(1) dan Seksyen 18 (b)(1) Akta Pertubuhan 1966.

Mahkamah memerintahkan kelima-lima pemohon itu supaya membayar kos berjumlah RM90,000 kepada RoS, Menteri Dalam Negeri dan Saravanan, sebagai pencelah dalam permohonan itu.

BACA: Mahkamah tolak saman pemimpin MIC terhadap RoS