KUALA LUMPUR: "Saya tidak suka orang lompat-lompat (lompat parti) dan waktu orang lompat-lompat di Sabah dulu, saya orang terakhir yang tetap tidak lompat."

Demikian menurut Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sambil menyeru semua wakil menyokong usul Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang dibawa Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang).

Beliau berkata, usul berkenaan wajar diterima dalam memastikan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran rakyat.

"Oleh kerana mungkin orang yang lompat-lompat itu maka Shah Alam (Khalid Abdul Samad) pun dalam (kerajaan ketika itu) sana maka Shah Alam pun gugur juga.

"Sebab itu, kita mahu adakan pilihan raya supaya jangan ada lompat-lompat dan Ahli Parlimen Pengerang pun sedang merangka satu usul iaitu akta antilompat parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Bajet 2022 pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa selepas Khalid (PH-Shah Alam) mencelah sesi perbahasannya dengan membangkitkan tindakan lompat parti dalam kalangan ahli politik telah mengakibatkan ketidakstabilan politik di negara ini.

Khalid sebelum itu mendakwa tindakan lompat parti oleh segelintir pihak menyebabkan pertukaran kerajaan sehingga turut menjejaskan ekonomi negara.

Dalam pada itu Bung Moktar berkata, disebabkan itu beliau menyokong untuk pilihan raya umum diadakan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya tidak berlaku wakil rakyat yang melompat parti jika diadakan pilihan raya.

"Saya memang sokong. Saya harap Shah Alam (Khalid) pun sokong. Kita tidak mahu ada lompat-lompat. Kalau kita menang, menanglah. Kalau kalah, kalahlah, apa mahu takut? Lawan sajalah. Kita semua gentlemen," kata Bung Mokhtar.