Pas mencadangkan agar kerajaan pusat menyelaras undang-undang takzir antara negeri-negeri supaya tidak timbul lagi salah faham pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata setakat ini, beberapa mufti telah mengeluarkan kenyataan mengenai pelarasan itu dan Pas menyambut baik usaha tersebut.

"Undang-undang takzir tidak mempunyai hukuman yang spesifik. Ia berada di bawah bidang kuasa hakim, mungkin di sesetengah tempat, hakim mengenakan hukuman denda sahaja dan ada yang perlukan hukuman sebatan.

"Walaupun ia dalam bidang kuasa hakim, pelarasan boleh dibincang mengenai undang-undang takzir ini kerana langkah itu lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.



Sementara itu, Takiyuddin turut mengulas mengenai dakwaan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menyifatkan pakaian perbarisan ketika Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 menyerupai pakaian tentera.

Beliau berkata, pakaian itu sebenarnya adalah satu daripada tujuh jenis uniform Unit Amal Pas yang baharu pertama kali dipakai ketika perbarisan sempena perasmian muktamar pada Sabtu oleh Presiden Pas.

"Pakaian nombor satu itu semua persatuan pun ada termasuk pengakap negeri-negeri lain pun ada, biasa sahaja.

"Jadi kenapa Patriot tak bantah uniform di kedai-kedai biasa dan di Chow Kit. Patriot sebenarnya tak ada isu," katanya.

BACA: Patriot kecam pakaian seragam perbarisan Pas mirip tentera

BACA: 'Uniform Jabatan Amal tak langgar undang-undang'


Media pada Ahad melaporkan pemakaian seragam itu mencetus kritikan Patriot yang mahu Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya kerana menganggap ia perkara serius, dan tidak seharusnya disalahgunakan oleh mana-mana organisasi, dan boleh dianggap menghina tradisi tentera.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji dilaporkan berkata Seksyen 140 Kanun Keseksaan (Akta 574) menyatakan bahawa adalah satu kesalahan bagi sesiapa yang bukan anggota tentera memakai pakaian, atau membawa sebarang tanda penghargaan yang menyerupai pakaian atau medal tentera.

-- BERNAMA