KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menempelak kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa kononnya pihak yang mahu menyegerakan pilihan raya umum (PRU) sebagai gila kuasa.

Sebaliknya dakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Pas khuatir kehilangan kerusi yang sedia ada dalam PRU ke-15.

"Mungkin pilihan raya cepat, partinya (Pas) dikhuatiri akan kehilangan... kurang daripada 18 kerusi yang sedia ada," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO 'Cabaran dan Harapan, Masa Hadapan Orang Muda' di Menara Dato Onn pada Sabtu.

Abdul Hadi sebelum ini menegaskan, Pas menganggap pihak yang mahu menyegerakan PRU adalah kumpulan sebenar yang kemaruk kepada kuasa.

Jelasnya, Pas sudah menyatakan berkali-kali bahawa ketika ini isu seperti ancaman COVID-19 perlu diberi perhatian dahulu sebelum memberi laluan kepada pilihan raya.

Malah tegasnya, parti itu terpaksa menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan sebelum ini akibat tindakan UMNO dan BN yang mahu ia diadakan segera.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama antara parti-parti politik pula, jelas Ahmad Zahid berkata BN bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti sebelum ataupun selepas PRU15.

"Saya tidak mengkategorikan khemah besar atau kecil atau sederhana, yang penting khemah BN bersedia kerjasama dengan siapa sahaja.

"Sama ada secara kesefahaman sekarang ataupun selepas PRU-15," katanya lagi.