KUALA LUMPUR: Pas menerima konsep Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Islam bagi menjamin kestabilan negara, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi menjelaskan, Pas juga mengajak semua pihak untuk menjayakan hasrat murni ini demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

"Pas menerima realiti kemajmukan kaum dan agama di Malaysia dengan memperkenalkan konsep adil untuk semua, tiada paksaan dalam beragama dan wajib bertolong-tolongan antara satu sama lain, di atas konsep perpaduan umat manusia yang merupakan satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

"Pas melalui pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah berjaya membuktikan bahawa keadilan kepada semua telahpun direalisasikan, melalui hak beragama, bermasyarakat dan berkebajikan yang dipelihara oleh Kerajaan di bawah kepimpinan Islam.," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Gagasan Keluarga Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dilantik mengetuai kerajaan.