KUALA TERENGGANU: Pas tidak mahu dikurung dalam sebuah permuafakatan yang tertutup dengan hanya menjadi penumpang dalam politik tanah air.

Sebaliknya, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin parti itu perlu menjadi pemimpin yang bersama dengan rakan gabungan bagi menyelamatkan negara.

"Pas jangan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air.

"Sebaliknya, menjadi pemimpin bersama rakan-rakan sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara bersama Islam yang telah diperkenalkan oleh Pas.

"Untuk mendapat jaminan paling kuat bagi menegakkan konsep kepimpinan Islam yang berprinsip, maka Pas wajib berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) berasaskan jumlah kerusi yang menang, bukannya banyak jumlah kerusi yang bertanding tanpa kerusi yang dimenangi," katanya. 

Abdul Hadi berkata demikian dalam ucapan dasar pada pembukaan Muktamar Pas kali ke-67 pagi ini.

Dengan tema 'Islam Menyatukan Ummah', Muktamar Pas kali ini berlangsung di Kuala Terengganu dengan kehadiran hampir 700 orang daripada keseluruhan 1,546 perwakilan seluruh negara, selebihnya mengikuti secara maya dari kawasan masing-masing.

Abdul Hadi berkata, Pas perlu menjadi 'king maker' dan turut memimpin dalam kerajaan persekutuan.

Jelasnya, muktamar kali ini adalah terpenting dan mungkin terakhir sebelum PRU15.


Muktamar kali ini juga katanya, ialah bagi menegaskan hala tuju Pas menuju PRU15 dengan mengekalkan negeri yang dikuasai Pas dan mengekalkan kerajaan persekutuan.

Di akhir ucapan, Abdul Hadi turut berpesan supaya Pas dan keseluruhan ahlinya terus berpegang kepada agenda Islam menyatukan ummah dengan beberapa takrifan.

Ia termasuk, persiapan calon berwibawa, gerak kerja jentera pilihan raya di peringkat akar umbi dan pemantapan organisasi.

Muktamar kali ini juga akan menyaksikan pemilihan jawatan Naib Presiden dan 18 Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, manakala jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.