BUKIT GANTANG: Pas menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya parti itu terdesak untuk bersama dengan UMNO bagi memastikan mereka terus relevan.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, mereka kekal dengan pendirian mahukan penyatuan parti-parti Melayu terutama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut beliau, penyatuan parti-parti Melayu itu penting demi masa depan generasi akan datang.

"Tak usah cakaplah, nak berpecah, ini saya ulang berkali-kali, kalau bertanding tiga penjuru, kita akan tengok keputusan sama seperti PRU14 iaitu Pakatan Harapan (PH) akan menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Amal di Markaz Pas Sungai Tinggi, Trong pada Ahad.

Menurutnya lagi, apa yang dilakukan bukan untuk kepentingan politik Pas atau kepentingan politik individu.

“Bukan untuk kepentingan saya sendiri sebagai orang dah tua, tapi kita fikir tentang politik generasi akan datang,” ujarnya lagi.

Idris berkata, perpecahan hanya akan membawa keburukan kepada generasi muda kerana mereka yang akan meneruskan perjuangan.

Oleh itu, katanya, Pas tetap mahu bertindak sebagai penyatu dan sanggup melupakan sengketa dengan UMNO sebelum ini kerana mahukan penyatuan parti-parti Melayu.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya UMNO kekal dengan pendirian tidak mahukan penyatuan, mereka terpaksa berdepan pada pilihan raya akan datang.

Pada Sabtu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dalam satu kenyataan berkata, Pas seakan tidak mahu 'bercerai' dengan UMNO sebaliknya masih terus menagih simpati mengadakan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atas alasan penyatuan ummah supaya kekal relevan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan Pas semakin terdesak dan mahu menumpang tuah UMNO setelah mereka merasakan kerjasama dengan Bersatu tiada harapan lagi.