Parti Pas dan UMNO menzahirkan keyakinan yang amat tinggi dalam usaha untuk merampas semula pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dalam pilihan raya umum akan datang.

Itu tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyifatkan penyatuan antara kedua-dua parti itu mempunyai kelebihan besar terutama di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu.

Menurutnya, penyatuan terbabit turut akan memfokuskan beberapa kawasan di pusat-pusat bandar seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim dalam usaha mencabar tujuh kerusi DUN yang mempunyai sekitar 50 peratus pengundi Melayu.

Walau bagaimanapun, jelas beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah, soal pembahagian kerusi dan calon Menteri Besar masih belum dibincangkan secara serius oleh kedua-dua parti itu.

“Tumpuan (kepada) kerusi orang Melayu. Kalau 36 kerusi di Kedah ni yang ada hanya beberapa kerusi yang (pengundi) Melayu sekitar 50 peratus... maknanya di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim.

“Tapi yang lain tu kawasan Melayu yang lebih 60 peratus dan persaingan yang kita lihat (pada PRU14) dari tiga penjuru, tapi kalau dalam Muafakat Nasional ni maknanya UMNO (dan) Pas tu tidak bersaing, jadi kita boleh tengok (keberhasilan) di situ,” ujar beliau.

Mahdzir berkata demikian ketika ditemui media selelas menghadiri persidangan Muafakat Nasional peringkat negeri Kedah, di Dewan Utama TH Hotel, Titi Gajah, Kedah pada Sabtu.

Persidangan terbabit adalah yang pertama kali diadakan bagi peringkat negeri selepas kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu menandatangani Piagam Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 14 September lalu.

Ketika ini, kerajaan Pakatan Harapan negeri Kedah mempunyai 19 buah kerusi DUN, diikuti Pas (15 kerusi) dan UMNO (dua kerusi).