SHAH ALAM : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa mekanisme semak dan imbang yang kukuh serta berkesan bagi melindungi kepentingan awam.

Bersih dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu turut meluahkan kebimbangan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum membuat keputusan sama ada akan menjawat jawatan Menteri Kewangan atau sebaliknya.

Gabungan itu menjelaskan, keputusan berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana akan mencacatkan proses semak dan imbang dalam kabinet sekiranya Anwar menjawat jawatan itu.

“Sebaliknya Bersih mengalu-alukan kenyataan Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menolak tawaran Anwar menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan sekali gus akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa.

“Bersih menyeru kerajaan membentuk kabinet bayangan pembangkang berserta gaji, sumber dan akses maklumat selain setiap kementerian diteliti oleh seorang menteri bayangan yang dibayar separuh daripada gaji menteri berserta kakitangan polisi tanpa faedah lain.

“Untuk mengukuhkan lagi penelitian di setiap kementerian, perlu ada jawatankuasa pilihan Parlimen yang diisi oleh barisan kerajaan dan pembangkang dengan kakitangan polisi sendiri,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini Anwar dilaporkan belum membuat sebarang keputusan sama ada akan memegang portfolio Menteri Kewangan bagi mengecilkan saiz kabinet yang bakal dibentuknya.

Dalam pada itu, Bersih turut meminta kerajaan meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) agar sumber jawatankuasa tambahan dan kabinet bayangan boleh berurusan terus dengan Parlimen.

Selain itu, Bersih turut berpandangan bahawa institusi kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bebas daripada pengaruh Eksekutif.

“Peguam Negara yang sepatutnya kekal sebagai lantikan kerajaan tidak sepatutnya memegang peranan sebagai Pendakwa Raya.

“Media yang bebas juga penting kepada demokrasi kerana melaporkan rasuah, kegagalan dan kelemahan kerajaan. Mereka harus dibebaskan daripada undang-undang ketat supaya boleh melaporkan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Masyarakat Sivil yang bebas untuk mengawal selia badan bukan kerajaan (NGO) agar boleh melakukan kerja tanpa bimbang diganggu oleh pihak berkuasa,” katanya. - Sinar Harian