PONTIAN: Desakan meletak jawatan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat tidak relevan ketika ini.

Sebaliknya, ahli gabungan parti itu perlu muhasabah diri dan merapatkan kembali hubungan mereka, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, sekiranya atas dasar menggalas tanggungjawab desakan itu dibuat, banyak pihak yang perlu meletakkan jawatan mereka.

"Kalau nak menerima tangungjawab atas segala perkara, begitu ramai yang perlu letak jawatan. Jadi, oleh kerana kita tidak mahu ramai meletak jawatan, maka tak payah seorang pun letak jawatan.

"Kita selesaikan apa yang patut diselesaikan. Parti kita besar tetapi menang sedikit. Walaupun sedikit, kita jadi penentu kewujudan kerajaan perpaduan.

"Jadi, kita ada rasa syukur. Menang sedikit tetapi kemenangan penting. Kalau nak suruh letak jawatan, ramai betul. Ketua PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang kalah letak jawatanlah semuanya?

"Ada 7,000 lebih PDM seluruh Malaysia. Berapa ramai nak suruh letak jawatan? Ketua Perhubungan yang kalah, berapa ramai yang nak kena letak jawatan?

"Ketua Pemuda, Wanita, Puteri? Letak jawatanlah semua? Berapa ramai nak letak jawatan? Oleh itu, pada pandangan saya, jangan ada sesiapa letak jawatan. Kita muhasabah apa yang berlaku," katanya.

Ahmad berkata demikian pada sesi penerangan dan dialog bersama akar umbi di Benut, dekat sini, hari ini.

Beliau turut menyarankan agar Ahli Parlimen BN menganjurkan sesi serupa bagi memberi penjelasan berhubung keputusan menyertai kerajaan perpaduan dan lain-lain perkara berhubung parti.

Penerangan, katanya, harus dilakukan dengan mengguna pakai kenyataan parti yang dipersetujui dan dikeluarkan oleh Setiausaha BN atau UMNO.