KUCHING: Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 susulan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pagi Rabu.

Memetik laporan media tempatan, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi pengamal media.

“Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengesahkan kepada media bahawa GPS kekal memberi sokongan ketua Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” lapor Borneo Post dalam hantaran Twitter.

Sementara itu, setakat pukul 12.30 tengah hari ini, sejam selepas wakil GPS dititah menghadap Agong pada 11.30 pagi tadi, kesemua Ahli Parlimen terlibat belum dapat dihubungi untuk pengesahan Astro AWANI.

Terdahulu Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum mengesahkan beberapa Ahli Majlis Tertinggi (MT) GPS yang dipanggil menghadap Agong di Istana Negara termasuk Fadillah, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Datuk Aaron Aro Dagang.