ARAU: Kerajaan baharu Perlis mengambil langkah penjimatan dengan mengecilkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada tujuh orang termasuk Menteri Besar.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, semua Exco terbabit akan bertanggungjawab terhadap 33 portfolio berkuat kuasa hari ini.

"Selain daripada langkah penjimatan, bilangan Exco yang kecil juga bertujuan untuk meningkatkan prestasi kerja dengan kemampuan yang ada," katanya pada sidang media khas di Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Jumaat.

Katanya, jumlah Exco itu berkurangan berbanding sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu seramai sembilan orang.

Terdahulu, seramai enam orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco kerajaan negeri di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau.

Pada Selasa, Mohd Shukri turut mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis selepas Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan di negeri ini setelah memenangi 14 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang berkata, kriteria pemilihan Exco juga mengambil kira kebolehan pemimpin terbabit dalam setiap portfolio yang disediakan.

Mohd Shukri berkata, PN juga akan cuba melaksanakan segala janji yang terkandung di dalam manifesto mereka dengan sebaik mungkin demi kebaikan rakyat negeri ini.

Sementara itu Mohd Shukri berkata, mesyuarat Exco pertama dijangka akan berlangsung pada 29 November ini namun lokasinya belum ditentukan.