KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengulangi pendirian bahawa pihaknya enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk sebuah kerajaan, meskipun selepas permintaan itu dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, demikian dalam satu sidang media selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Selasa.

“Kerana dikatakan tidak ada satu pun yang mempunyai jumlah bilangan yang mencukupi, Tuanku mencadangkan supaya kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk unity government atau kerajaan perpaduan.

“Tetapi, kami telah berbincang perkara itu sejak awal lagi. Kami tidak akan bekerjasama dengan PH. Itu pendirian parti kita sejak dulu sampai ke hari ini. Atas tujuan apa sekali pun, kita tidak bersetuju” tegas beliau.

Malah, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menandatangani dokumen bagi menyatakan sama ada beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan PH atau tidak.

Sambil mengangguk kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang,  ketika sidang media berkenaan, Muhyiddin berkata bahawa pemimpin itu turut bersetuju dengan pendiriannya.


LAPOR LANGSUNG: Pasca PRU15: Siapa Perdana Menteri ke-10?


“Tok Guru [ada] pandangan yang sama, kami dah sepakat. Atas sebab-sebab yang kita tahu, kenapa kita tak boleh bekerjasama dengan PH. Umum pun tahu apa sebabnya. Itu pendirian yang telah kami ambil,” jelasnya.

[TERKINI] Sidang Media Tan Sri Muhyiddin Yassin I 22 November 2022

Muhyiddin turut menjelaskan, sejumlah 115 Surat Akuan Berkanun (Statutory Declaration) telah diserahkan secara dalam talian kepada Istana Negara untuk membuktikan Perikatan Nasional dengan banyak parti-parti lain dan ahli parlimen dari parti lain.

Namun, jelasnya, SD tersebut dikatakan tidak mencukupi atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Terdahulu, Agong menitahkan Muhyiddin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Baginda di Istana Negara selepas tiada seorang didapati mempunyai majoriti mencukupi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, kesemua 30 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) pula dipanggil menghadap Baginda secara individu pada jam 10.30 pagi Rabu agar Baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.