KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara memutuskan untuk menyokong kerajaan perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dibentuk.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu dibuat  dalam mesyuarat MKT parti itu yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

"MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui PN dalam memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad turut berkata MKT akan terus memperkukuhkan sokongan terdapat Ahmad Zahid untuk terus menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.

Dengan ini katanya, MKT juga bersetuju wakili-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Ahmad turut memaklumkan bahawa Perhimpuan Agung UMNO untuk tahun ini akan diadakan pada 21 hingga 24 Disember, 2022.