PAU2020: Penyatuan UMNO dengan Pas umpama mimpi terindah - Asyraf Wajdi

Madiha Abdullah
Mac 27, 2021 07:05 MYT
Asyraf Wajdi menyeru agar ikatan itu dijaga dan tidak sesekali membiarkan mana-mana pihak memutuskannya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Penyatuan dan kerjasama UMNO dengan Pas, disifatkan sebagai mimpi terindah yang menjadi kenyataan.
Justeru, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyeru agar ikatan itu dijaga dan tidak sesekali membiarkan mana-mana pihak memutuskannya.
"Ini sesuatu yang didambakan sejak berpuluh tahun yang lalu. Pegang eratlah Muafakat Nasional (MN) ini seutuhnya.
"Jangan biarkan ia terlerai, atau digugat pihak ketiga kerana belum tentu peluang seperti ini akan muncul lagi di masa hadapan.
"Seruan Pemuda buat kepimpinan, berpakatlah dengan hikmah, berundinglah tanpa helah. Tidak ada kusut yang tidak boleh diselesaikan.
"Yang penting, ada keikhlasan dan kejujuran dalam persahabatan atau persepakatan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020), yang bermula hari ini.
Mengimbas sirah perjuangan sahabat Rasulullah SAW, Ali Abi Thalib dalam peperangan Siffin, kata Asyraf, itulah hakikat politik ketika ini yang menyaksikan perpecahan akibat kepentingan diri sendiri.
"Zaman sekarang, kita lihat kemunculan ramai watak-watak berkepentingan seperti ini.
"UMNO masih mempunyai maruah dan harga diri. Jangan jolok sarang tebuan, kerana sengatannya masih berbisa.
"Pemuda tegas mendesak kepimpinan parti agar tidak beri muka, jangan beri tempat pada mereka dalam pemilihan akan datang dan menolak watak-watak hipokrit ini," katanya.
Memetik ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum itu, Asyraf juga berpesan agar setiap anggota tahu membezakan antara rakan dan musuh sebenar parti itu.
"UMNO tidak pernah curang dengan kawan. Kita pegang pada janji dan ketetapan bersama walaupun dalam Muafakat Nasional termasuklah kita tidak pernah setuju menganggotai atau mendaftarkan Perikatan Nasional.
"Kita setuju bentuk kerajaan, tetapi tidak setuju daftar parti. Tetapi ia dilakukan juga secara senyap," ujarnya.
#Asyraf Wajdi Dusuki #UMNO #PAS #politik #kerajaan #Muafakat Nasional #Perikatan Nasional #PAU2020 #Mohamad Hasan #Pemuda UMNO #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri