KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperjuangkan agenda Bumiputera selain memastikan agenda membasmi kemiskinan terus dijayakan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Bajet 2022 adalah sebahagian daripada inisiatif yang telah diusahakan oleh kerajaan ketika ini dalam mencapai hasrat tersebut.

“Dalam Bajet 2022, peruntukan kepada orang Melayu dan Bumiputera adalah sebanyak 75 peratus daripada agihan peruntukan mengikut kaum. Antara inisiatif utama ialah pertama, Program Peningkatan Kapasiti dan pembiayaan perniagaan sebanyak RM4.8 bilion.

“Kedua, kemudahan pendidikan anak-anak Melayu dan Bumiputera melalui MARA, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebanyak RM6.6 bilion.

"Dalam RMK12 misalnya, enam sasaran dan tujuh strategi khusus telah ditetapkan. Ini bagi mencapai kesaksamaan keberhasilan Bumiputera,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di ibu negara pada Sabtu.

Malah, jelasnya melalui TERAJU, kerajaan juga telah melancarkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) untuk memperkasa ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera.

Selain itu, katanya Agenda Basmi Kemiskinan turut menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.

Sebelum ini jelasnya, banyak rungutan daripada perwakilan dalam PAU2021 yang telah membangkitkan kerisauan mengenai isu tersebut.

“Saya sendiri lahir dari keluarga miskin,anak penoreh getah. Saya merasai dan memahami apa erti kesusahan sebab itulah agenda basmi kemiskinan menjadi keutamaan saya.


BACA LAPORAN KOMPREHENSIF BERHUBUNG PAU2021 DI SINI 


“Pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan ramai golongan M40 tergelincir kepada B40. Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi sedang melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang bertujuan menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025," ujarnya.

Katanya lagi, Unit Kemiskinan khusus telah ditubuhkan di negeri-negeri dan juga daerah bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, beliau sendiri telah mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu (BMTKM) di peringkat pusat bagi memantau perkembangan pelaksanaan program rintis yang dilaksanakan di 80 lokaliti di seluruh negara.

Jelas Perdana Menteri, BMTKM akan melibatkan kerjasama strategik dengan semua pihak, kerajaan negeri, kementerian-kementerian, pemimpin setempat, universiti tempatan, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

“Insya-Allah, sasaran ini akan dapat dicapai akhir tahun 2025. Selagi hayat dikandung badan, nasib Melayu dan Bumiputera akan saya perjuangkan," tambahnya.