KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memakumkan keputusan untuk meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Khas (KWSP) sudah pun dicapai lebih awal.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau perlu menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkannya dan turut mengingatkan mana-mana pihak untuk jangan cuba menangguk di air keruh.

“Ramai yang bertanyakan kepada saya kenapa (umum) lewat? Sebelum hari penamaan calon di Pilihan Raya Negeri Johor, saya telah berbincang dengan Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan memaklumkan kepadanya yang saya akan mengumumkan tentang KWSP, dengan pengeluaran caruman sebanyak RM10,000,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya lagi, perancangan awalnya adalah untuk mengumumkannya di PRN Johor, baru-baru ini, namun hasratnya terbatal, sehubungan semua orang mahu menjadi “hero” KWSP secara tiba-tiba. 


BACA SEMUA BERHUBUNG LAPORAN KOMPREHENSIF PAU2021 DI SINI


“Ketua Pembangkang umum, DAP pun umum, pelbagai pihak yang mengumumkannya. Jadi, saya perlu mengatakan, kalau kita umumkan selepas bercakap, tentu sahaja mereka akan claim credit (mengambil kredit) ke atas apa yang kita lakukan,” kata Ismail Sabri.

Ismail Sabri berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di ibu negara, hari ini.

Justeru, katanya, adalah lebih wajar perkara berkenaan diumumkan dalam tempoh hampir dengan penganjuran PAU2021.

Ini jelasnya, agar rakyat tahu dan memahami bahawa perkara membabitkan KWSP itu adalah agenda perjuangan oleh parti UMNO.

Pengumuman berkenaan itu juga kata Ismail Sabri, adalah bagi meraikan kemenangan besar yang telah dicatatkan oleh BN dan juga UMNO dalam PRNJohor pada 12 Mac lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri  turut menyeru seluruh Keluarga UMNO supaya merapatkan saf dan jangan sesekali membenarkan mana-mana anasir mengganggu-gugat keharmonian parti ketika ini.

Beliau berkata, jika parti memiliki kekuatan yang teguh, ia membolehkan segala halangan dapat diatasi dengan sebaiknya.