KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mengusulkan agar kepimpinan tertinggi parti membuat pindaan kepada perlembagaan parti supaya pemilihan parti diadakan setiap kali selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO boleh mengikut cara rakan parti itu, MCA yang turut melakukan pendekatan sama.

Cadangan itu senada dengan Puteri UMNO yang turut membangkitkan perkara sama, disampaikan melalui Ketua Puterinya, Datuk Zahida Zarik Khan pada Khamis.

“Setuju?” tanya beliau kepada perwakilan sebelum ramai melaungkan setuju.

“Ini bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-peranda, melemahkan perpaduan dan kekuatan parti.

“Ingat, pilihan raya akan datang, lebih besar geloranya. Ingat, pilihan raya akan datang lebih besar cabarannya.

“Bukan sahaja dari fitnah lama tapi tohmahan baharu dari dalam dan luar bahtera, semuanya bagi memecah-belahkan kita semua.

“Semuanya bagi melumpuhkan jentera kita dan akhirnya mengambil laba dari kelemahan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada Khamis.

PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021

BACA: PAU2021: Puteri UMNO desak pemilihan parti dibuat setiap kali selepas PRU - Zahida

Terdahulu, Astro Awani melaporkan Zahida berkata, cadangan pemilihan parti selepas PRU itu adalah perlu bagi mengelakkan daripada berlaku krisis dalaman parti terutamanya peringkat kepimpinan.

Menurut Zahida, memandangkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) merupakan punca kuasa tertinggi dalam parti kita, justeru, beliau memilih menyuarakan desakan itu bagi memastikan suara Puteri didengari pucuk pimpinan.

Tambah beliau, ada segelintir ahli dan pimpinan parti yang hanya ligat untuk berkempen dalam pemilihan parti, namun, tidak menyumbang ketika diperlukan dalam pilihan raya.