KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 kali ini dilihat tidak lain tidak bukan hanya lebih kepada memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub juga berpandangan, dalam UMNO itu sendiri, memang wujud dua puak yang berbeza walaupun ahli parti itu cuba menyembunyikan perkara tersebut.

“Saya lihat sebenarnya PAU kali ini ialah perhimpunan untuk menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

“Jadi, kita lihat secara keseluruhan, tiada perkara baru pun sebenarnya dibincangkan dalam perhimpunan kali ini, sebaliknya ia hanya lebih kepada usaha untuk membawa perwakilan dan kemudiannya bersama-sama untuk menekan Perdana Menteri untuk bubarkan Parlimen,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Perhimpunan Agung UMNO 2021

BACA: PAU2021: UMNO tidak desak bubar Parlimen, cuma berikan saranan - Ahmad Zahid

BACA: PAU2021: Hasrat bubar Parlimen akan dibincang dan diteliti - PM 

BACA: PAU2021: 'Top Five' UMNO akan duduk, bincang isu pembubaran Parlimen - Tok Mat 

Sementara itu, Dr Tawfik melihat bahawa ada dua kelompok di dalam UMNO yang tidak sehaluan, namun ia cuba tidak ditunjukkan kepada umum.

“Ia jelas, kita tidak boleh lagi hidup dalam kewayangan atau berpura-pura bahawa UMNO tidak ada dua kumpulan atau parti berbeza.

“Ini masih lagi wujud dalam UMNO, tapi kita lihat masing-masing cuba untuk menyembunyikan berselindung antara satu sama lain bahawa mereka tiada masalah penipuan.

“Ini kerana kita sebagai pemerhati kepada parti-parti politik dan proses perkembangan parti politik yang ada di negara kita hari ini, saya lihat sebenarnya memang UMNO ada dalam keadaan tersebut,” ujarnya lagi.

Rumusan PAU2021 | Benarkah PRU-15 semakin hampir?

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, hasrat sebahagian besar para perwakilan dan ahli UMNO yang mahukan agar Parlimen segera dibubarkan akan dibincangkan secara teliti.

Beliau memberi jaminan itu ketika menyampaikan ucapan penggulunganya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 petang tadi.