KUALA LUMPUR: Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam Pemilihan UMNO akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu dalam ucapan penggulungan dasar berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada muka baharu menerajui kepimpinan parti.

Jelas beliau lagi, ruang untuk kepimpinan baharu mampu memastikan Pemuda UMNO bangkit semula dan bergerak lebih kuat bagi mengukuhkan parti Melayu itu,

"Kita kena lihat bagaimana nak bangkit semula daripada apa yang berlaku sebab itu saya mengambil keputusan untuk tidak lagi mempertahankan jawatan saya selaku Ketua Pemuda UMNO.

"Saya mengambil tangungjawab ini untuk pastikan bahtera kita akan kembali kuat dan dinahodai oleh orang baharu yang boleh membawa idea segar dan baharu.

"Tetapi satu perkara saya minta tolong, kita adalah Pemuda yang sama-sama menyaksikan dan merasai susah payah dalam perjuangan ini," katanya dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Khamis.

Asyraf yang memegang jawatan tersebut sejak 2018 menambah, beliau sudah melakukan yang terbaik dan meletakkan sepenuh pengorbanan untuk memastikan parti dapat dipulihkan semula.

Pada Pemilihan UMNO 2018, Asyraf memenangi pemilihan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bagi penggal 2018-2021.

Pada pemilihan tersebut, Asyraf mendapat 65 undi, diikuti Senator Khairul Azwan Harun (62), Mohd. Shahar Abdullah (51) dan hanya dua undi untuk Datuk Seri Jamal Yunos.

BERITA LANJUT MENYUSUL