KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah menghalang mana-mana ahli partinya untuk bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, justeru dakwaan bahawa demokrasi dalam UMNO sudah terkubur, adalah sama sekali tidak benar.

BACA: Presiden UMNO beritahu beliau 'ready to fight' - Khairy

Begitu pun, beliau mencadangkan agar  mana-mana pemimpin yang mahu bertanding pada Pemilihan UMNO akan datang termasuk jawatan tertinggi parti supaya mengumumkan penyertaan mereka lebih awal.

"Ada juga naratif yang dibawa bahawa kita (UMNO) nak halang, kita tak pernah halang ya (bertanding jawatan Presiden dan Timbalan).

"Parti-parti lain sebelum ini mereka tidak bertanding jawatan Presiden, tetapi kita pada 2018 pertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, dan kali ini pun kita tak halang.

"Saya juga nak tambah cadangan mungkin siapa yang nak bertanding jawatan tertinggi ini, Presiden, Timbalan Presiden atau tiga Naib Presiden, saya nak cadangkan supaya mereka umum awal-awal. Buat apa nak sorok-sorok pada saya, dan kalau kita cakap belakang-belakang sahaja, tak elok.

"Siapa nak bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden... umum lah awal-awal," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pengamal media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Khamis.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam kemas kini di laman sosialnya berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bersedia untuk dicabar.

Mengulas lanjut, Isham juga berkata UMNO setakat ini tidak membuat sebarang pindaan terhadap Perlembagaan parti bagi menyekat ahlinya mencabar kedudukan jawatan tertinggi dalam Parti Melayu berkenaan.

Berhubung tindakan 140 Ketua Bahagian yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pula, beliau berkata ia merupakan inisiatif mereka, yang tidak mahu melihat UMNO berdepan kekacauan.

"Cuma ini atas inisiatif dan usul atau cadangan yang dibawa oleh Ketua-ketua Bahagian sebabnya mungkin pada masa kritikal ini, mereka tidak mahu menghuru-harakan UMNO.

"Kita baharu sertai Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini masih rapuh pada (pandangan) saya. Kalau dalam pemilihan ini berlaku politik wang dan sebagainya, jadi ini mungkin yang dipertimbangkan oleh 140 Ketua Bahagian UMNO," katanya lagi.