KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mendesak agar 'pengkhianat' parti itu disingkirkan daripada terus merosakkan institusi politik Melayu terbesar itu.

Ketika memberikan ucapan dasar, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, individu berkenaan disifatkan sebagai gunting dalam lipatan, yang didakwa hanya mengutamakan diri berbanding parti.

"Pemuda tidak pernah berganjak untuk mempertahankan institusi kepimpinan parti tanpa rasa takut.

"Pemuda tidak boleh bersikap hipokrit melambung pemimpin takkala menang, tetapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang.

"Justeru Pemuda mendesak agar saki-baki pengkhianat parti, yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, serta mengutamakan diri daripada parti, agar disingkirkan terus daripada menjadi barah yang merosakakan seluruh organ dan jasad parti.

"Setuju? Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) ada mendengar luahan hati kita," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.

Berucap lanjut, Asyraf Wajdi berkata sikap yang ditunjukkan ahli dan pemimpin UMNO berkenaan yang suka bercakaran sesama sendiri menyebabkan rakyat tidak percaya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk memimpin negara.

Malah, jelas beliau, tindakan menyerang parti dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga jelas ditunjukkan ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Tak pernah terbayang di akal bagaimana pemimpin sudah berpuluh-puluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli parti tetapi hari ini memilih untuk memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak lagi menjadi calon.

"Sesetengah calon pula memilih untuk menjadi hero dengan mencerca parti, dijaja kononnya mengundi beliau bermakna mengundi untuk memulihkan UMNO yang sesat, rosak dan korup.

"Seolah-olah dialah satu-satunya paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya," tambah Asyraf Wajdi lagi.

BACA: UMNO Kelantan mahu tindakan dikenakan terhadap pengkhianat parti

Dalam masa yang sama, Asyraf Wajdi menegaskan Pemuda UMNO berpendirian untuk teguh menyokong institusi Presiden, yang digambarkan penting untuk pengukuhan sebuah parti. 

Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) membuka tirai hari pertama dengan perasmian persidangan sayap melibatkan Wanita, Pemuda dan Puteri pada malam tadi.

Seramai 5,514 perwakilan UMNO dari seluruh negara berhimpun di WTCKL sehingga 14 Januari ini.

Jangkaan kehadiran semua sayap adalah seramai 2,838 perwakilan melibatkan 1,117 Wanita, 1,146 (Pemuda) dan 1,113 (Puteri).

Untuk rekod, seramai 469,924 Pemuda UMNO seluruh negara, dengan 14,538 cawangan merangkumi 190 bahagian.