Melihat kepada status quo, Malaysia perlu segera melaksanakan undang-undang yang mengawal pembiayaan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata undang-undang itu adalah untuk memastikan ketelusan dalam setiap ahli politik dalam negara ini.

Menurutnya, undang-undang ini juga antara lain bertujuan untuk mengharamkan sumbangan atau derma dari luar negara yang bukan entiti atau warga negara Malaysia.

"Ada tiga perkara yang kita perlu lakukan. Ia merupakan amalan yang terbaik untuk semua parti politik.

"Pertama, kita perlu mengharamkan semua dana politik daripada sumber atau dana daripada mereka yang bukan entiti atau wargaranegara Malaysia.

"Yang kedua kesemua wang derma atas nama politik tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun individu tetapi ke dalam akaun parti politik. Tapi anda tahukan, ia sangat sukar untuk memastikan sama ada ianya rasuah atau bukan rasuah. Ianya hadiah, mungkin?

"Ketiga, kesemua penderma mesti didedahkan kepada umum," tambah Paul dalam ucaptamanya pada Sidang Tahunan Malaysian Institute Of Chartered Secretaries and Administrator (MAICSA) pada Khamis.

Jelasnya, tiada undang-undang dikenakan terhadap pembiayaan politik di Malaysia, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya.

Sehubungan itu, katanya, terdapat keperluan mendesak untuk membendung gejala rasuah dalam politik yang akan menggugat proses dan nilai demokratik dalam negara ini.