KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kesal dengan kenyataan Datuk Seri Salleh Said yang melabelkan presiden parti itu, Datuk Seri Maximus Ongkili sebagai 'gila' kerana disifatkan 'menyerang' Barisan Nasional (BN) berkaitan isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing di negeri ini.

Setiausaha politiknya, Johnnybone berkata kenyataan Maximus berkenaan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) itu, dibuat berdasarkan fakta daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja dan bukannya mengikut emosi semata-mata.

"Beliau (Ongkili) hanya bercakap berdasarkan fakta yang ditulis dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kehadiran ramai PATI di Sabah. Bagi kami, tidak mengapa Ongkili digelar gila kerana bercakap bagi pihak rakyat.

"Presiden PBS mendedahkan dosa masa lalu BN dan pengkhianatannya terhadap Perlembagaan dan hak. Ya, kami sebahagian daripada BN ketika itu, tetapi kami pernah menyuarakan pendirian dan membuat aduan, malah memberikan cadangan, tetapi semuanya tidak pernah diendahkan," kata Johnnybone.

BACA: Isu PATI di Sabah seperti 'hantu bangkit' - Maximus

PATI | Hajiji harap setiap pihak jujur mencari penyelesaian

Tambah beliau, Salleh dan Bung Moktar Radin sepatutnya merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Najib Razak di media sosial berkaitan penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu tersebut terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata demikian.

"Beliau (Najib) mengakui bahawa parti terbabit sememangnya UMNO, yang ketika itu diketuai oleh Tun Dr Mahathir dan tindakan itu disokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu merupakan timbalan Mahathir. Kedua-dua pemimpin itu telah meninggalkan UMNO untuk mengetuai parti politik mereka sendiri," ujar Johnnybone.

Bung sebelum ini, turut menggangap tindakan Maximus itu umpama tidak mengenang budi sebagai respons kepada kenyataannya dalam Kongres Perwakilan Tahunan PBS ke-36 dan ke-37, baru-baru ini.

Terdahulu, Maximus di dalam ucapannya berkata, isu kebanjiran PATI di Sabah berpunca daripada kelemahan BN sewaktu memerintah negeri itu.