KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyerahkan surat pengesahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke melalui laman akaun Facebook miliknya selepas menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), pada Isnin.

 
Sumber Facebook lokesiewfook

"Sebelum mesyuarat bermula, Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Ketua Pembangkang untuk menaik taraf status pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri.


"Mesyuarat ini akan diadakan pada hari Isnin setiap dua minggu. Mesyuarat seperti ini membawa satu budaya politik yang baharu untuk negara kita.

"Walaupun ada perbezaan politik di antara parti, kita tetap boleh duduk bersama untuk berbincang dan mencari titik persamaan demi kepentingan negara," katanya.

Pada 13 September lalu, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, mesyuarat itu membincangkan perkembangan pelaksanaan agenda-agenda pembaharuan yang dipersetujui bersama.

"Beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang akan datang," jelasnya.